hadiah

15 Jun

Saling memberi hadiahlah kalian, niscaya kalian saling mencintai

(HR al-Bukhari, al-Baihaqi, Abu Ya’la)

11/06/09, Jumaat

Sebaik tiba di rumah dari lapangan terbang KLIA, beg-beg besar dipunggah masuk ke dalam rumah. Saya menanggalkan tudung dan membuka kipas. Panas sungguh dirasakan saat itu. Perjalanan pulang dari Dublin yang memakan masa selama hampir 20 jam itu memakan tenaga saya. Terasa hendak terus tidur. Tetapi ada misi penting yang perlu diselesaikan- sesi memberi hadiah!

Petang itu, semua ahli keluarga saya berada di rumah kecuali dua orang adik lelaki saya. Bagus. Saya tersenyum dan satu demi satu barang dihulurkan. Untuk Ummi, Abah, Kakyong, Ijah dan Husna. Hadiah untuk Muaz dan Zubair disimpan dahulu. Turkish delight dan Apple tea dari Istanbul turut dikeluarkan bersama beberapa barang yang lainnya. Banyak juga. Patutlah berat semacam kedua-dua beg saya itu. Mereka menerima pemberian saya dengan wajah ceria. Alhamdulillah, misi selesai…

Seterusnya kami sama-sama merasa Turkish delight tersebut dan membancuh apple tea. Juadah petang yang semestinya menyegarkan di hari yang panas terik.

Kebanyakan hadiah yang saya beli dikumpul sejak setahun lepas. Semasa mengemas barang selepas peperiksaan tempoh hari dan melihat kepada barang-barang yang hendak dibawa pulang, rindu itu segera bertandang. Ah, sangat rindu untuk pulang! Kini, berada di rumah bersama mereka di Malaysia, rindu itu terubat. ^-^

PERIHAL HADIAH

present

Wajah ceria si penerima hadiah pastinya menggembirakan sang pemberi. Acap kali juga pemberian hadiah tidak dibalas dengan ucapan terima kasih, pujian, pelukan mahupun senyuman. Namun saya pasti, kepuasan sang pemberi adalah pada saat menyampaikan hadiah tersebut. Terasa puas kerana berjaya menghadiahkan sesuatu kepada insan yang diingini. Selebihnya adalah bonus jika sang penerima berseri-seri wajahnya tatkala hadiah diberi, dipeluk atau diberi hadiah balas kemudian harinya.

Pada hari itu, saya bersyukur kerana mereka gembira dengan hadiah yang diberi. Wajah terukir senyuman dan ucapan terima kasih diterima.

ADA APA DENGAN HADIAH?

tasbih

“Bibs, tasbih ni jannah hadiahkan khas untuk bib. Jannah cuba jugak cari warna pink atau merah tapi tak jumpa,” kata teman saya itu sambil menghulurkan seutas tasbih 33 biji berwarna coklat.

Menerima tasbih dari Mekah itu cukup menggembirakan saya. Nun jauh di tanah haram sana, dia masih ingat pada saya dan warna kegemaran saya. Terharu.

“Tasbih jannah warna ungu. Jannah letak kat meja study. Supaya jannah selalu ingat untuk istighfar 100 kali sehari. Bila nampak je,  boleh ingatkan jannah,” tambahnya lagi.

Tasbih itu saya bawa pulang ke Ireland usai cuti musim panas yang lepas. Ianya saya sangkut di dinding bilik, dekat dengan meja solek. Agar mudah dilihat. Meski tidak lagi digunakan selepas solat, kewujudan tasbih itu mengingatkan saya pada sahabat saya itu. Dan yang penting, kata-katanya. Istighfar. Seratus kali. Setiap hari. Terima kasih sahabat.

“ Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dan dari pahala-pahala mereka yang mencontohnya itu, sedang barangsiapa yang mengajak kearah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedrkitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu.”

(Riwayat Muslim)

Tidaklah saya mengatakan anda perlu memberi tasbih sebagai hadiah.  Biar apa pun hadiah yang diberi, moga ianya bermakna kepada sang penerima. Agar yang menerima dan yang memberi mendapat manfaat.

Hadiah yang diberi tidak perlu terlalu mahal, tidak perlu berjenama, tidak perlu datang dari tempat yang jauh dan tidak juga perlu dibungkus dengan pembalut hadiah yang cantik. Yang lebih penting ialah ikhlas. Ikhlas untuk memberi dan ikhlas menerima.  Hadiah itulah yang akan sampai di hati meski barang tersebut sudah lapuk ditelan zaman. Pun begitu, keikhlasan dan kesungguhan sang pemberi mungkin dapat dilihat pada hadiahnya. Dibungkus dan dibalut dengan teliti, hadiahnya bermutu dan dibeli khas dari kedai berjenama untuk sahabatnya itu. Terpulang. Jika mampu, usahakan. Jika tidak, sediakan yang sebaiknya.

Masih saya ingat, pada satu hari di musim peperiksaan, usai ‘paper’ pada pagi itu, saya terus pulang ke rumah. Dan betapa saya sangat terkejut melihat kad bertulis nama saya di atas meja telefon. Kad itu segera saya ambil lalu tergesa-gesa membukanya. Saya tertanya siapakah yang mungkin mengirimnya. Jantung saya berdegup-degup tatkala sampul surat itu dibuka.

Sungguh, saya terharu! Kad itu datang dari seorang kakak di UK. Senyum saya lebar sampai ke pipi dan kad itu saya baca berulang kali. Lantas gambar kad itu saya ambil. Ingatan daripadanya sangat saya hargai meski dia turut sibuk dengan musim peperiksaan.

from kak hanis

Memilih dan memberi hadiah untuk orang lain bukan mudah. Minat, warna kegemaran, kegunaan hadiah tersebut dan macam-macam lagi perlu diambil kira. Itu kalau benar-benar hendak memberi hadiah. Kini, saya sedang membina skill memberi hadiah. Untuk mempunyai skill tersebut, kenalah selalu memberi hadiah. =P

MEMBERI DAN MENERIMA

Memberi kerana kita mahu, bukan kerana kita perlu memberi. Ada bezanya. Namun, kerap kali yang terkemudian itu terjadi. Terutama apabila tibanya hari lahir sahabat yang dahulunya pernah menghadiahkan sesuatu di hari lahir kita. Kepala mula ligat memikirkan apa yang perlu diberi. Mahu memberi atau tidak?

Pernah seorang rakan menolak apabila saya mengatakan ingin membelikannya hadiah. Katanya, tidak perlu. Jika tidak, dia akan perlu memberi hadiah pada hari lahir saya pula. Jika saya tidak memberi apa-apa padanya, dia ada pilihan samada mahu memberi atau tidak. Ish, susah..susah..Susah sebenarnya untuk ikhlas dan memberi kerana kita mahu, bukan perlu.

Senang cerita, balas hadiah tersebut. Pada awalnya, ia mungkin kerana kita perlu memberi. Tetapi percayalah, selepas selalu memberi dan melihat wajah gembira si penerima, kita akan mahu terus memberi. Memberi kerana sayangkan insan itu dan tidak mengharapkan sebarang balasan. Ia sudah, bagaimana mahu menerima jika tidak pernah memberi bukan?

Bila memberi, tidak kiralah apa pun, berikan dengan senyuman kerana pepatah ada menyebutkan,

“Jika kita memberi tanpa senyuman, kita sebenarnya telah mengambil separuh daripada pemberian tersebut,”

Erti hidup pada memberi~

HADIAH PALING BESAR

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”

(Al-Maidah: 27)

Kisah Habil dan Qabil di atas mungkin boleh menjadi panduan kepada kita. Tatkala Allah memerintahkan kepada keduanya untuk menyediakan kurban kepada Allah, Habil melakukan persiapan yang sebaiknya. Dia memilih lembu yang paling baik. Manakala Qabil melakukannya sambil lewa. Sayur-sayuran yang tidak segar menjadi hadiah kepada Allah. Dan kedua-duanya tidak sampai kepada Allah. Yang sampai kepada Allah adalah amalan yang ikhlas dan ternyata Habil ikhlas dalam melakukan suruhan Allah.

Perjalanan kita di atas muka bumi ini masih jauh. Tidak tahu bila kita akan dijemput pulang. Mungkin sebentar lagi. Mungkin sesaat selepas anda menghabiskan bacaan ayat ini. Dan dalam perjalanan menuju Allah ini, kita sebenarnya sedang menyiapkan hadiah paling besar untuk mendapat hadiah yang lebih besar lagi daripada Allah.

Balasan hadiah itu sangat mahal. Harganya tinggi-patuh pada arahanNya dan meninggalkan laranganNya. Tidak berkata nista, yang sia-sia dan mengumpat. Bangun pada malam hari untuk bertemu janji denganNya dan..dan..dan banyak lagi. Di hari itu, akan ramai yang memberi hadiah padaNya. Dan semestinya kita mahu hadiah kita yang berupa amalan kita selama ini diterima olehNya. Mahu agar hadiah yang diberi paling baik daripada orang lain.

Sudahkah kita bersiap-siap dengan hadiah terbaik? The same rules applied, ikhlas dan kerana mahu…

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu”

(Al-Hajj: 37)

Wallahu’alam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: