Emak Ingin Naik Haji

2 Jan

Berjurai-jurai air mata saya menonton filem keluaran Indonesia ini. Durasinya singkat tetapi filem yang berkisarkan seorang ibu yang hendak naik haji ini sangat-sangat menjentik hati. Emak Ingin Naik Haji- tajuknya jelas, sejelas mesej yang hendak disampaikan.

Saya kebetulan menonton filem ini kerana tertarik dengan tajuknya. Ia nyata tidak mengecewakan. Minit-minit pertamanya sahaja sudah mampu menangkap perhatian.

Filem Emak Ingin Naik Haji mengisahkan mengenai seorang wanita yang dipanggil Emak yang sangat kepingin untuk menunaikan haji. Emak merupakan seorang yang taat agama, sabar, penyayang dan disayangi oleh ramai orang. Namun keinginan emak untuk naik haji terhalang kerana tidak mampu dari segi kewangan.

Emak bekerja menjual kuih dan hasil jualannya, ia simpan sedikit-sedikit untuk tujuan itu. 5 tahun ia menyimpan namun jumlah yang diperolehnya hanya 1/6 dari kos untuk pergi haji. Emak sedar haji itu wajib untuk mereka yang berkemampuan namun hatinya tidak pernah berhenti daripada mengharap.

Zain, anaknya yang merupakan seorang duda sedar akan keinginan ibunya yang sangat tinggi. Zain hanya bekerja menjual lukisan. Dengan masalah dari perkahwinannya yang lepas, Zain seakan hilang upaya untuk menunaikan impian ibu tersayang.

Di kala Emak, seorang wanita miskin terhalang niatnya untuk menunaikan haji, di sisi lain, jiran sebelah rumahnya yang kaya sudah beberapa kali naik haji. Umrah pula, tidaklah terhitung. Turut diceritakan kisah mereka yang naik haji untuk tujuan politik.

Bagaimanakah kesudahan cerita ini? Dapatkah Emak melaksanakan rukun Islam ke lima itu? Saksikannya. Buka hati dan buka mata, Insya Allah, anda tidak rugi menontonnya.

Saya sering merasakan bahasa Indonesia itu sangat kuat maknanya. Dengan penggunaan bahasa yang mudah-mudah sahaja, ia membawa kita bersama menghayati kisah Ibu. Subhanallah, sangat luar biasa filem ini.

Banyak perkara yang disentuh, yang mengajak para penonton untuk muhasabah diri. Ia bukan hanya mengekspresikan kerinduan seorang Ibu pada Kaabah, kepada haji, kepada Masjidil Haram, kepada Masjidil Nabawi…bukan, bukan cuma itu.

Ada orang yang ingiiiin sangat untuk menyahut panggilan Tuhannya tetapi jalannya susaaaah sangat.

Ada orang yang dikurniakan limpahan rezki tetapi naik haji baginya hanya merupakan rutin sahaja, sekadar memenuhi tuntutan rukun Islam yang lima.

Ada juga orang yang mempunyai kemampuan tetapi dia merasa tidak terpanggil untuk menyahut seruan Tuhannya.

Tersentuh hati saya bila mana ketika membaca Quran usangnya itu, Emak terhenti pada surah ali-Imran, ayat 96 yang menceritakan tentang Baitullah. Emak menangis dalam pengaduannya pada Allah. Allah…Betapa Emak sangat kepingin naik haji. Dia tidak kisah wangnya dihabiskan untuk orang lain. Hatinya tenang meski wang yang dikumpulnya bertahun-tahun perlu dikeluarkan dari bank.

Filem ini menggambarkan kepada kita kekuatan niat yang biasa mampu mengalahkan segalanya. Bila mana kita berniat untuk mencapai atau melakukan sesuatu, ia haruslah disertakan dengan upaya dan ikhtiar sehabis baik yang mungkin.

Melihat kepada segala macam upaya yang dilakukan, dengan sekian banyak air mata yang gugur, saya jadi ikut simpati malah sangat kasihan pada Emak bila mana Zain ditimpa kemalangan. Hanya sedikit sahaja lagi sebelum impian Emak terlaksana. Sangka saya, Allah akhirnya memakbulkan doa Emak. Namun rupanya Dia ingin menguji sejauh mana kesabaran Emak.

Subhanallah, pertolongan Allah itu datang tatkala segala ikhtiar dan upaya sudah dilaksanakan. Bukan hanya mengharap tanpa berbuat apa-apa. Sujud syukur Emak di bahagian akhir filem ini membuktikan pertolongan Allah itu. Allahuakbar!  Barangsiapa bertawa kepada Allah, Dia akan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar, Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…” (At-Talaq: 2-3)

Ya Allah, Maha Suci Engkau!

Meski ia hanya sebuah filem, kisah-kisah yang dipaparkan di dalamnya merupakan sesuatu yang ‘real’ dalam masyarakat sekarang. Tidak keterlaluan kalau saya katakan filem ini setanding dengan filem Laskar Pelangi, juga buah tangan dari Indonesia.

Insya-Allah, semoga kita semua mendapat manfaat daripada filem ini.

(klik gambar untuk menonton filem Emak Ingin Naik Haji)

“Raga emak mungkin tak mampu buat melewati samudera yang luas begitu untuk ke tanah suci.. tapi mak yakin, Allah pasti tahu….hati emak sudah lama ada di situ..sudah lama ada di situ..”

 

Dan pena pun diangkat~

One Response to “Emak Ingin Naik Haji”

  1. nuurhabibah January 2, 2011 at 8:05 am #

    Saya mendapati terdapat banyak persamaan kisah di dalam filem ini dengan kisah2 terdahulu.

    (1) Emak yang mengeluarkan duit tabungan hajinya untuk membantu anaknya Zain = kisah Ibnu Mubarak

    (2) Kisah anak yang makan bangkai burung = juga kisah Ibnu Mubarak

    Boleh baca lebih lanjut di sini http://genta-rasa.com/2010/11/19/1228/

    Wallahu’alam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: