Calon-calonnya ialah…

27 Feb

Beberapa hari lalu, seorang rakan sekelas lelaki berbangsa Cina bertanya;

“Habibah, which one of our girl classmate would you choose if you were to introduce them to your male friend?”

Saya tertawa kecil mendengar soalan tersebut. Entah apa yang membuatkannya bertanya begitu. Eh eh, macam orang sedang mencari calon pun ada kan (dengan menggunakan saya sebagai orang tengah)

Bila ditanya kenapa, dia hanya meminta saya menjawabya dengan jujur.

“Hmm…”

Nak kena jawab atau tidak ni?

Selepas berdalih dan berbasa basi serta mengelak di sana dan sini terhadap persoalan yang diajukan, dia lantas berkata,

“Haa..saya tahu! Kamu mesti nak perkenalkan diri kamu!”

Eh eh, ke situ pulak dia!
……..

Sebetulnya, saya mempunyai jawapan kepada persoalan yang dikemukakan.

Ada beberapa orang kenalan, yang bila berjumpa dan bersama dengannya, hati saya terdetik,

“Ya Allah, beruntungnyalah siapa yang dapat dia ni..”

“ Ya Allah, ketemukanlah dia dengan jodoh yang terbaik buatnya ya Allah”

Mereka-mereka ini orangnya biasa-biasa sahaja dari segi luaran tetapi Subhanallah, akhlaknya sangat baik dan pengetahuan agamanya tinggi. Sangat senang sekali bersama mereka.

Ada antara mereka merupakan guru sekolah menengah saya, para akhawat yang dikenali semasa berprogram mahupun kenalan biasa yang saya jumpa sehari-hari.

Saya senang sekali untuk mengambil contoh-contoh dari mereka yang dirasakan baik; cara berpakaian, cara bercakap, cara makan dan sebagainya. Dan kebanyakan perilaku mereka itu bersesuaian dengan apa yang disebutkan dalam alQuran dan assunnah (tidaklah saya ikut secara membabi buta). Senang hati melihatnya.

Mungkin boleh saya katakan bahawa keberadaan saya bersama mereka yang saya sebutkan di atas telah banyak mencorak karakter saya pada hari ini.

Berjumpa dengan akhawat sering pasti membuatkan saya senyum sendiri atau menitis air mata semasa pulang. Senyum sendiri dengan peringatan yang diberi yang sering kena pada diri ini atau keharuan dengan kata-kata semangat yang ditiupkan.

“Ada ketikanya peribadi Muslim menghadapi masa-masa futur, kelalaian, atau tertarik dengan pujukan-rayu syaitan. Jika ia bersendirian, keadaan seperti itu akan terus berlanjutan, hingga mungkin ia akan hilang dari “pentas da’wah.”Sesungguhnya serigala itu hanya membaham kambing yang terpisah dari rombongannya. Sebaliknya, bila ia mempunyai sahabat-sahabat yang salih, maka mereka tidak akan membiarkannya sendirian dalam menghadapi syaitan; bila mereka tidak melihatnya di medan ‘amal kebajikan, maka mereka akan mencarinya, mengajaknya, mengingatkannya, dan membantunya untuk mengalahkan jeratan syaitan. Ini merupakan bekalan yang amat baik dalam perjalanan da’wah”

Subhanallah, indah sungguh ukhwah yang dijalinkan kerana Allah kan?

…………..

Eh eh, apakah tujuan artikel ini?

Jikalau hendak mencari calon, pilihlah di kalangan akhawat?

Bukan. Itu adalah mesej sampingan yang mungkin tidak dipersetujui beberapa pihak. Yang utamanya, ingin saya katakan, berkawan dan berkumpullah dengan orang-orang yang baik. Dengan mereka yang selalu mengingatkan dengan kelakuan, kata-kata mahupun sentuhan tangan. Dengan itu anda akan mendapat kebaikan dan tempat rujukan yang baik insya Allah.

Sahabat yang salih itu ibarat penjual minyak wangi, bila engkau tidak mendapat minyak wangi darinya, maka engkau mendapatkan bau harumnya. Dan sahabat yang jahat itu ibarat tukang besi, bila engkau tidak terkena percikan apinya, maka engkau akan terkena asapnya.

(Hadith riwayat Abu Daud)

Juga, diri sendiri, jadilah seorang sahabat solehah kepada orang lain.

Jikalau soalan rakan saya itu diajukan kepada anda, adakah calonnya sudah ada di dalam minda anda? Kenapa?

Ataupun anda sendiri calon yang hendak diperkenalkan itu? 🙂

Dan pena pun diangkat~

Dan pena pun diangkat~

2 Responses to “Calon-calonnya ialah…”

  1. atiqah February 2, 2012 at 7:35 am #

    akak… apa mksd akhawat 2 ?

    • nuurhabibah February 2, 2012 at 9:30 am #

      Atiqah, akhawat tu asal dr perkataan bahasa Arab. Maksudnya sahabat-sahabat perempuan 🙂

Leave a comment