Jodoh

4 Aug

Baru-baru ini, banyak sekali berbicara soal jodoh. Soal kahwin. Soal hati. Sejak graduasi tempoh hari hingga ke hari ini, topiknya banyak berkisar soal yang satu ini. Al maklumlah, kawan-kawan di sekeliling rata-ratanya sudah berumah tangga dan menimang cahaya mata. Bahkan ada yang sudah menambah zuriat pun.

Berbicara soal ini, memang tidak ada sudahnya. Jika satu soalan diajukan, ada sepuluh soalan yang mengikutinya. Jika ada satu respon, ada sepuluh respon pula yang menghuraikannya. Memang tidak akan sudah. Dan dengan golongan berbeza, inputnya juga berbeza.

Kalau berbicara dengan golongan yang single mingle, keluhannya banyak berkisar isu yang sama;

“Macam mana ni, nak kahwin tetapi tiada calon lagi!”

“Setiap kali balik kampung je, mesti mak aku tanya, tak ada calon lagi ke. Aku tak tahu macam mana nak jawab!”

Dan sekian macam dialog yang menggambarkan gejola hati masing-masing. Usia semakin meningkat, kerja semakin sibuk, tetapi jodoh belum kunjung tiba. Belum ada yang mahu…Ada antara mereka ini, manis dan cantik orangnya. Tetapi…jodoh itu tidak berdasarkan kepada paras rupa. Bahkan tidak berdasar pada all those physical qualities pun. Kalau ya, tentu sahaja mereka yang buta tidak berkahwin, yang pincang kakinya tidak dipinang dan yang berjerawat mukanya tidak dipilih. Setuju tidak?

Soal jodoh itu perkara ghaib yang diketahui Al-Malik. Tetapi penentuannya sudah dikhabarkan kepada kita semua melalui hadis Nabi;

Dari Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud r.a. beliau berkata : Rasulullah saw menyampaikan kepada kami dan beliau adalah orang yang benar dan dibenarkan.  “Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya di dalam rahim ibunya dalam 40 hari berupa nuthfah (air yang kental), kemudian menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian menjadi gumpalan seperti sekerat daging, selama itu juga. Kemudian diutuslah kepadanya malaikat lalu ditiupkan padanya ruh dan dia diperintahkan untuk menuliskan empat perkara : 1. Ditentukan rezekinya 2. Ajalnya 3. Amalnya 4. Ia celaka atau bahagia…

Justeru, saya kata, tanyakan sahaja pada Ar-Rahman. Khabarkan keluhan kita padaNya. Insya-Allah Dia mendengar dan memakbulkan. But remember, your destiny won’t simply come knocking at the front door. There need to be some effort!

……..

Kalau berbicara dengan golongan yang dirisik orang pula, lain bunyinya..

“How do I know if he’s the right one?”

“Patutkah saya terima dia atau tidak?”

Satu lagi ketidakpastian kan? Kita tidak tahu adakah dia jodoh yang telah dituliskan di Lauh Mahfuz untuk kita. Kita tidak tahu macam mana corak kehidupan rumah tangga kita nanti bersamanya. Pelbagai soalan bermain di fikiran. Kalau dulu tiada yang mahu, kita serabut mahu mencari. Bila sudah berjumpa, kita jadi makan tak lalu, tidur tidak lena dan mandi tidak basah. Fikiran macam terawang-awang. Kadang-kadang sampai pening kepala..eh, si Z kah atau si M kah..

Kan senang kalau kita tahu siapa yang telah ditetapkan untuk kita. Tapi..lagi senang sebenarnya kalau kita tahu bila ajal akan menjemput kita. Kalau kita tahu waktu dan saat kematian kita, itu lebih mudah. Tentu tidak serabut fikir perkara lain. Mesti ibadah menjadi prioriti utama…beribadah seperti kita akan mati esok dan bekerja seperti kita akan mati seribu tahun lagi!

Itulah uniknya percaturan Allah. Allah mahukan kita berusaha. Nasi tidak masuk sendiri ke dalam mulut dan jodoh tidak datang bergolek. Selepas berjumpa, lakukanlah istikharah. Bawa Allah bersama dalam keputusan yang akan kita buat dan mohon sungguh-sungguh moga diberikan yang terbaik. Selepas itu, bertawakallah. Insya-Allah.

………

Selepas bernikah, ceritanya tentu berbeza. Keseronokan berkahwin itu, layaknya orang yang sudah berkahwin yang menceritakan. Usahlah saya huraikan di sini.

Tetapi berkahwin juga tidak terlepas dari dugaan dan cabaran di sebalik kemanisan yang dirasai. Tetap ada ceritanya. Ada yang merancang untuk tinggal bersama selepas berkahwin tetapi komitmen kerja seringkali menjadi halangan. Ada yang merancang mendapat zuriat tetapi terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Ada yang diuji dengan keluarga mertua. Lebih mengharukan, ada juga yang diuji dengan penceraian. Jodoh yang dipilih itu rupanya bukan jodohnya. Allah swt rupanya mentakdirkan dengan seseorang yang lebih baik lagi. Allahu. Semua itu menambah rencah rumah tangga dan rencah kehidupan yang singkat ini

Pernah saya ajukan soalan mengenai perhubungan jarak jauh pada yang berpengalaman. Dan jawapan yang diberikan cantik sekali..

“Jikalau kita meletakkan perjumpaan kita setiap hari sebagai pengukuh ikatan suami isteri, maka sangat tertipulah kita. Berapa ramai pasangan di luar sana, mereka tinggal bersama tetapi jasad mereka di situ, hati mereka di tempat lain. Dan kalau kita lihat pada penceraian yang berlaku, mereka itu tinggal bersama bukan?”

“Justeru, pasakkanlah hati kita pada Allah. Allah sahaja yang mengikat hati-hati kita ini. Banyakkan berdoa agar dipermudahkan urusan kita suami isteri dan diizinkan untuk bercinta hingga ke syurga insya-Allah!”

………..

Uniknya persoalan jodoh ini jika ingin dikupas lebih lanjut.

Kita tidak tahu apa akan terjadi pada kita di masa akan datang. Pengetahuan kita terbatas. Kita hanya mengetahui apa yang sedang berlaku sebatas yang ada. Perkara yang telah berlaku pula, hanya sedikit yang mampu kita ingat semula.

Memilih seseorang dan seterusnya berkahwin dengannya adalah satu percaturan. Marriage is a gamble. Pemilihan kita pada hari ini akan mencorakkan kehidupan kita yang akan datang..bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat sana! Oleh itu, pilihlah dengan pilihan Allah. Dan saya pasti, anda arif dengan hadith Nabi saw;

“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal keagamaannya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu.” (HR Bukhari dan Muslim)

…………

Catitan di atas lebih berupa rujukan untuk saya di masa hadapan. Supaya ‘borak-borak’itu bukanlah perbualan kosong dan memberi manfaat kepada orang lain.

Kepada yang bakal mendirikan masjid, saya ucapkan “Barakallahu lakuma wa barak ‘alaikuma wa jamaa bainakuma fi khair”. Selamat bercinta hingga ke syurga!

Doakan saya juga ya! 🙂

p/s: saya tidak bercerita mengenai cinta, tetapi jodoh~

Cinta

Anna Althafunnisa (Ketika Cinta Bertasbih)

Sekalipun CINTA telah kuuraikan dan kujelaskan panjang lebar

Namun jika CINTA kudatangi, aku jadi malu pada keteranganku sendiri

Meskipun lidahku telah mampu menguraikan dengan terang

Namun tanpa lidah,

CINTA ternyata lebih terang

Sementara pena begitu tergesa gesa menuliskannya

Kata kata pecah berkeping keping begitu sampai kepada CINTA

Dalam menguraikan CINTA, akal terbaring tak berdaya

Bagaikan keldai terbaring dalam Lumpur

CINTA sendirilah yang menerangkan CINTA dan perCINTAan

Dan pena pun diangkat~

One Response to “Jodoh”

  1. cahayadian September 30, 2012 at 6:30 am #

    Reblogged this on cahayadian and commented:
    🙂 Jazakillahukhayr kak

Leave a comment